Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tengok pada tajuk, ianya adalah satu line daripada lagu Standing In The Eyes Of The World, nyanyian Ella. Dulu kan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel, so lagu ini dikira sebagai lagu official untuk program tersebut. Aku masa tu pun baru tingkatan 1.
Ok, apa istimewanya lagu ni? Lagu ini dah lama tapi aku masih mendengarnya sehingga hari ini malahan lagu ini aku sentiasa perdengarkan kepada peserta-peserta program motivasi aku. Aku jadikan lagu ini sebagai lagu motivasi aku. Eh, bukan banyak lagi ke lagu lain yang boleh dipilih sebagai lagu motivasi? Yes, banyak je lagu-lagu yang selalu dijadikan lagu program motivasi seperti lagu Gemuruh, Fikirkan Boleh dan sebagainya cuma lagu ini sangat istimewa di hati aku.
Liriknya sangat menyentuh jiwa, ada soul dalam liriknya. Sebagai contoh "Setiap manusia ingin berjaya, namun tak semua miliki tuah". Ayat ini sangat menarik. Ianya menyatakan bahawa semua orang nak berjaya, semua orang sudah berusaha sebaiknya tapi apakan daya, mungkin belum rezeki. Tak semua orang yang sudah berusaha itu akan memperoleh apa yang diinginkan, mungkin sebahagiannyaa sahaja dan semua ini juga adalah qada' dan qadar juga. Ada hikmahnya semua ini berlaku, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.
Begitu juga dengan ayat "Terdidik sejak mula tabah berusaha". Maksud ayat ini adalah kejayaan tidak akan dicapai dalam masa yang singkat. Semakin besar kejayaan, semakin lama proses untuk mencapainya. Teruskan berusaha dengan sabar dan tabah. Ayat ini juga boleh ditafsirkan bahawa mulakan sesuatu dari awal waktu atau sejak kecil. Ibarat peribahasa Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Jangan bermimpikan kejayaan besar dalam masa yang singkat.
"Tanpa cuba melangkah takkan kemana". Yes, ayat ini menyatakan bahawa cakap-cakap kosong takkan ada hasilnya. Semuanya perlu bertindak, perlu ada aksi dan tindakan. Setiap sesuatu kejayaan itu, ianya dimulakan dengan langkah yang pertama. Apa langkah pertama itu? Ianya adalah Cuba buat. Mungkin sepanjang proses kita melakukan sesuatu, ada menemui kegagalan tapi kalau kita tak mencuba, kita takkan tahu dan kita langsung takkan berjaya kalau tak mencuba.
"Tiba masa kau melangkah gagah, bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya". Aku sangat menyukai line ini. Dulu, semasa aku konvokesyen Diploma, aku teringat akan lirik ini, ianya adalah konvokesyen pertama aku. Ianya sangat menusuk jiwa. Aku terkenangkan usaha-usaha aku, penat lelah aku, pengorbanan aku dan segala kesukaran belajar. Bila berada di atas pentas dengan duduk di kerusi roda sambil dibantu oleh staff universiti, aku melangkah satu demi satu. Setiap langkah dan gerakan tayar kerusi rodaku membuatkan aku merasa sangat bersemangat. Yes, inilah masanya, masa untuk aku melangkah gagah menerima skrol pengajian. Inilah masanya aku berjaya buktikan pengorbananku tidak sia-sia. Impianku telah tercapai dan aku genggam impianku dengan penuh gagah bergaya.
Kembali semula dengan ayat "Setiap manusia ingin berjaya, namun tak semua miliki tuah". Ye, aku akui bahawa aku sangat bertuah. Ribuan lagi OKU diluar yang lebih hebat daripada aku tetapi mereka itu mungkin tiada tuah sepertiku, mereka mungkin tidak direzekikan seperti aku. Ramai lagi OKU diluar sana yang pandai dan hebat tetapi atas pelbagai faktor seperti kemiskinan, kesedaran keluarga, sokongan orang sekeliling menjadikan OKU itu tidak dapat belajar. Aku bertuah kerana aku mempunyai peluang untuk bersekolah, mempunyai keluarga yang prihatin akan pendidikanku dan memperoleh sokongan serta bantuan daripada orang sekeliling. Tanpa semua ini, aku rasa adalah mustahil untuk aku memperolehi apa yang aku ada hari ini.
Lagu ini mengingatkan aku tentang susah payah aku. Lagu ini mengingatkan aku tentang perlunya aku bersyukur. Lagu ini mengembalikan nostalgia zaman belajar dahulu. Lagu ini mengingatkan aku supaya tidak berputus asa dan sentiasa berusaha. Lagu ini memberikan 1001 makna yang mendalam dalam jiwa ini.
Suka aku ingatkan semua bahawa setiap kejayaan kita, setiapa apa yang kita perolehi, usaha kita hanya 10%, baki 90% itu adalah daripada berkat doa ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan serta semua itu tidak sesekali akan berlaku tanpa izin daripadaNya.
Terima kasih kepada pencipta dan penyanyi lagu ini.
#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed
No comments:
Post a Comment