Saturday, 16 November 2019

Projek BIMO-Part 2


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ok, masih lagi berkaitan dengan BIMO ni iaitu Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat Malaysia. Kali ini aku nak share tentang sebab aku develop buku ini. Yela, aku boleh bercakap, aku boleh sembang, family aku pun semuanya boleh bercakap, so buat apa aku susah-susah nak develop buku untuk belajar bahasa isyarat ni?

Ceritanya bermula 8 tahun lepas semasa aku mula-mula start pengajian PhD aku. Pada waktu itu aku nak buat tajuk tentang e-learning untuk belajar bahasa isyarat. Aku ingat bahasa isyarat tu senang sahaja nak dipelajari, hanya gerak-gerak tangan sahaja, itu andaian aku sahaja. Rupanya tidak, agak rumit juga sebenarnya. Apa pun, Alhamdulillah, aku dapat sokongan penuh daripada Persatuan Orang Pekak Johor (SDJO) terutamanya daripada Presiden SDJO iaitu En. Yazid Bain. Dia yang banyak bantu aku.

Dari semasa ke semasa, aku banyak menyertai program, mesyuarat, sembang kosong dan macam-macam lagi bersama komuniti OKU Pekak ini. Makan bersama dan siap tidur sekatil lagi dengan komuniti mereka. Dari situ aku mula menyedari bahawa komuniti OKU Pekak ini agak tersisih dan majoritinya tidak tahu menulis dengan baik. Mereka ini gagal menguasai kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira, cuma mengira itu ok la sebab selalu kira duit tetapi untuk membaca dan menulis dalam bahasa melayu baku, memang majoritinya gagal.

Daripada kajian pengajian aku pula, banyak faktor yang menjadikan mereka itu gagal menguasai 3M tetapi aku simpulkan kepada 3 faktor utama. Faktor pertama adalah pembelajaran bahasa isyarat tidak disediakan di taska dan tadika semasa. Buat masa sekarang, hanya satu sahaja taska untuk kanak-kanak OKU Pekak diwujudkan, itu pun atas usaha NGO. Faktor kedua adalah kurangnya bahan pembelajaran dan pengajaran untuk mempelajari bahasa isyarat. Mereka juga masih menggunakan kaeadh tradisional dalam pembelajaran mereka iaitu menggunakan buku dan bergantung sepenuhnya kepada guru. Faktor terakhir adalah keprihatinan ibu bapa dalam memastikan anak-anak OKU Pekak mereka belajar dengan baik dan mendapatkan keputusan yang cemerlang. Tahap kesedaran ibu bapa ini masih boleh dikatakan agak rendah. Mereka beranggapan bahawa anak OKU Pekak mereka tidak mampu pergi jauh.

Kemudian pada waktu itu, aku berkumpul dengan kawan-kawan sambil sembang. Pada waktu itu masing-masing bertanya projek terkini dan kajian semasa. Aku pun menceritakan masalah OKU Pekak ini. Dari situ timbulnya idea untuk membangunkan projek berkaitan dengan pendidikan OKU Pekak.

Sebagai langkah pertama, team kami menyertai pertandingan Indienomics Challenge yang mana ianya khas untuk syarikat start up mengetengahkan idea perniagaan atau idea projek. Pada waktu itu, team kami hanya mengetengahkan idea untuk membangunkan sebuah aplikasi berteknologi AR. Namun demikian, atas nasihat mentor kami, kami mencadangkan untuk membangunakan buku interaktif.

Idea itu kemudiannya digilap dan digilap dengan cara menambahkan ilmu pengetahuan melalui membuat perbentangan kepada pelbagai agensi. Banyak input yang diperolehi dan dibuat penambahbaikan. Pada masa itu sedikit demi sedikit idea itu berubah tetapi matlamat utamanya tetap sama iaitu untuk membantu komuniti OKU Pekak belajar bahasa isyarat cuma kadang-kala kami cuba membentangkan mengikut perspektif yang berbeza. Sebagai contoh, ada yang kami bentang dari perspektif ibu bapa normal tetapi mempunyai anak OKU Pekak, ada perspektif dari kanak-kanak OKU Pekak, ada perspektif dari guru-guru pendidikan khas dan sebagainya. Semua itu dirancang bagi memperolehi input dari pelbagai perspektif.

Kemudian, kami menyertai pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang menawarkan geran perniagaan sehingga RM 500,000.00. Bermula dari peringkat menghantar video pendek untuk peringkat saringan, maju ke peringkat suku akhir, diberikan peluang untuk ke separuh akhir melalui bootcamp dan akhirnya menang di peringkat akhir. Semua itu kami laluinya satu-persatu, tiada laluan mudah, tiada istilah pakai kabel. Semua ini adalah rezeki kami, berkat daripada bantuan dan doa semua pihak. 

Daripada wang geran itulah kami membangunkan Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat Malaysia ini. Alhamdulillah, respond yang diterima daripada masyarakat terutamanya daripada komuniti OKU Pekak itu sendiri sangat memberangsangkan. Mereka sangat teruja melihat buku yang dilengkapi dengan teknologi AR ini. Buku ini adalah yang pertama di Malaysia dan mungkin juga di dunia. Setakat ini aku belum menemui pihak lain atau di luar negara yang membangunkan buku ini dengan teknologi seperti kami. Kalau ada pun, ianya dalam bentuk kad imbas (flash card) dan menggunakan watak 3D yang boleh didapati secara percuma dalam internet.

So, aku harapkan korang semua sudi untuk membantu pembangunan buku ini. Tak nak beli pun takpe, cukup sekadar share post ini di media sosial korang atau doakan kejayaan untuk team kami pergi jauh. Semoga dengan bantuan perkongsian dan doa korang, kita sama-sama menyumbang ke arah kerja-kerja fardhu kifayah ini. Ok, aku kongsikan video ringkas tentang BIMO ye.





Video 1: Video teaser promosi BIMO



Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed

No comments:

Post a Comment