Thursday, 21 November 2019

Majlis Konvo Anak-anak Kecil


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Sekarang ini musim pihak tadika menganjurkan majlis konvokesyen untuk kanak-kanak dibawah kendalian mereka. Tujuan asalnya adalah untuk meraikan kejayaan kanak-kanak ini sepanjang pembelajaran mereka di tadika tersebut sekaligus sebagai kenang-kenangan untuk kanak-kanak itu juga. Pelbagai reaksi yang diterima sejak akhir-akhir ini terutamanya majlis ini sebahagiannya kelihatan grand dan tentu yang grand itu melibatkan kos yang tinggi dan ini membebankan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Baik, aku cuba ulas dari 3 perspektif iaitu kanak-kanak, pihak pengusaha tadika dan juga ibu bapa. Aku kira 3 pihak ini adalah pemegang taruh yang terbesar.

Kanak-kanak. Apa yang aku lihat, mereka gembira dengan majlis ini. Dalam majlis ini, mereka diraikan dengan pakaian yang istimewa, acara yang istimewa, makanan yang istimewa dan ramai ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan dan meraikan mereka. Awal pagi lagi dah excited nak pergi, mandi siap-siap, kat tadika cikgu sambut dan dipakaikan pakaian jubah yang cantik dan bergambar sambil memegang skrol. Bila ditanya, mereka gembira dan bangga menunjukkan gambar mereka berkonvo.

Pengusaha tadika. Pengusaha tadika (swasta) boleh dikategorikan kepada dua iaitu tadika yang sederhana dan tadika yang mahal. Bagi yang sederhana ini, biasanya harga untuk majlis konvokesyen juga adalah sederhana, begitu juga sebaliknya dengan tadika yang mahal. Baik sederhana mahupun mahal, semuanya adalah business dan mempunyai golongan sasaran yang tertentu. Mereka ini adalah entiti perniagaan dan tentunya mereka mengira untung rugi dan imej perniagaan mereka dalam setiap perkara. Mereka juga ada pesaing iaitu tadika-tadika swasta lain. Ada tadika yang sangat murah iaitu Tadika Kemas dan Tadika Pasti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan parti politik

Ibu bapa. Mereka adalah pembayar dan pelanggan pihak pengusaha tadika. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, boleh menghantar anak mereka ke tadika yang mahal bayarannya. Bagi yang kurang berkemampuan, boleh pilih tadika yang murah harganya malahan Tadika Kemas dan Tadika Pasti juga boleh dipilih. Tadika Kemas dan Tadika Pasti juga mengadakan majlis konvokesyen tetapi dengan cara mereka yang tersendiri. Biasanya majlis konvo mereka ringkas dan tidak melibatkan kos yang tinggi.

----------------------------------------

Perbincangan
 
Jika satu tadika mempunyai 100 orang murid, pihak pengurusan tadika terpaksa berurusan dengan 200 orang manusia (ibu + bapa). Bila berurusan dengan ramai orang, tentunya masing-masing mempunyai pendapat dan perangai yang tersendiri. Adalah agak mustahil untuk pihak pengurusan memuaskan hati semua ibu bapa. Akhirnya, keputusa dibuat dengan pandangan majoriti. Bila keputusan berdasarkan majoriti, dikatakan pula mereka meminggirkan golongan minoriti yang kurang berkemampuan.

Ada majlis konvo dibuat di tempat yang murah kosnya sebab tak mahu bebankan ibu bapa. Bila kos murah, akan ada masalah seperti kekurangan kerusi, kesempitan ruang, kepanasan dan sebagainya. Bila panas, ibu bapa akan pulang awal dan kasihan pada kanak-kanak terakhir, hanya ditemani ibu bapanya semata-mata, semua ibu bapa lain dah pulang. Kadang kala, sewa tempat yang murah pun ada risikonya seperti majlis terpaksa dibatalkan sebab tempat tu ada program yang lebih besar dan penting, maklumlah tempat orang punya. Buat di tadika sendiri, ada ibu bapa yang kata dah bosan, asyik tempat yang sama sahaja, ubahlah ke tempat lain, bertukar selera setahun sekali. Sekali majlis konvo terpaksa dibatalkan, tentunya imej dan reputasi perniagaan tadika ini akan merosot. Ibu bapa akan bercerita kepada rakan-rakannya supaya jangan hantar ke tadikan sekian-sekian atas kelemahan pengurusan. Susah untuk kembalikan kepercayaan pelanggan jika sekali ianya tercalar.

Ada majlis konvo dibuat di tempat yang mahal kosnya sebab nak grand dan meriah. Ibu bapa boleh datang beramai-ramai dengan atuk, nenek, bapa saudara dan sekalian umat manusia. Kalau ibu bapa yang datang bersama baby, baby itu juga tidak akan meragam sebab tempatnya selesa, siap ada tempat khas untuk menyusu. Tempat selesa, kerusi cukup dan berhawa dingin. Siap dengan tempat untuk photo booth lagi. Ibu bapa semua akan hadir dan hanya pulang selepas tamat program, bukan pulang selepas anaknya sahaja terima skrol. Tempat yang mahal biasanya susah untuk dibatalkan kerana ianya entiti business. Majlis berjaya dilaksanakan, imej tadika akan meningkat dan perniagaan mereka tahun depan Insyaallah semakin baik.

Ada ibu bapa yang kurang berkemampuan tetapi tetap menghantar anak mereka ke tadika yang mahal harganya. Mereka ini sanggup berkerja keras untuk memastikan anak mereka menerima pendidikan yang terbaik. Mereka beranggapan bahawa jika mahal harga, perkhidmatan dan pendidikan yang disediakan juga berkualiti tinggi. Bagi mereka, mereka boleh berkompromi untuk memastikan anak mereka menerima pendidikan terbaik walaupun mereka terpaksa bersusah payah. Apa saja aktiviti tadika yang memerlukan perbelanjaan khas, mereka sanggup mencari duit tambahan semata-mata tak ingin anak mereka terjejas.

Ada ibu bapa yang kurang berkemampuan tetapi tetap menghantar anak mereka ke tadika yang mahal harganya. Mereka ini beranggapan bahawa mereka hanya perlu bayar yuran bulanan. Perbelanjaan mereka diketatkan. Sebarang aktiviti tambahan lain tidak diperlukan dan tidak akan menyertainya. Mereka akan complaint jika ada bayaran tambahan dikenakan untuk aktiviti anak mereka. Pada masa sama, mereka juga marah sekiranya anak mereka tidak dibenarkan menyertai aktiviti tambahan (yang memerlukan bayaran lain). Bila berlaku masalah, mereka ini yang akan dapat perhatian netizen.

Ada ibu bapa yang kurang berkemampuan dan menghantar anak mereka ke tadika yang sederhana yurannya malahan ada yang menghantar ke Tadika Kemas dan Tadika Pasti. Tadika Kemas adalah anjuran pihak kerajaan dalam memastikan setiap kanak-kanak memperoleh pendidikan awal. Tadika Pasti pula adalah anjuran parti politik yang bertujuan untuk memberi khidmat kepada masyarakat setempat terutamanya untuk ahli politik mereka tetapi orang lain pun boleh sahaja hantar ke tadika tersebut. Aku juga sebahagian daripada Tadika Pasti. Tadika Pasti ini berhadapan dengan rumah aku sahaja, sangat dekat. Kosnya juga sangat rendah, memang bertujuan untuk bantu masyarakat kampung yang kurang berkemampuan. Tadika Kemas dan Tadika Pasti juga ada majlis konvonya dan dibuat secara sederhana. Ibu bapa takkan komen atau complaint majlis konvo ini kerana sedar bahawa tadika ini adalah murah bayarannya dan memang untuk bantu mereka yang kurang berkemampuan.

Ada ibu bapa yang berkemampuan yang menghantar anak mereka ke tadika yang mahal. Mereka beranggapan bahawa tadika yang mahal ini sesuai untuk anak mereka dan reputasi mereka juga terjaga. Mereka tidak malu kepada ahli keluarga, jiran-jiran dan kawan-kawan untuk mereka nyatakan yang mereka menghantar anak mereka ke tadika yang mahal. Bagi mereka, mereka inginkan kualiti pendidikan yang bagus dan mereka mampu membayarnya. Tiba saat hujung tahun, mereka akan request kepada pihak tadika untuk adakan majlis konvo. Mereka request untuk adakan majlis konvo di tempat yang baik, sesuai dengan imej mereka dan mereka juga boleh menjemput bersama ahli keluarga yang lain.

Ada ibu bapa yang berkemampuan yang menghantar anak mereka ke tadika yang murah dan ke Tadika Kemas dan Tadika Pasti. Pada mereka, mereka tak kisah dengan imej mereka. Mereka juga percaya dengan kualiti pendidikan yang disediakan di Tadika Kemas dan Tadika Pasti. Pada mereka, murah tak semestinya tidak berkualiti dan mahal tak semestinya berkualiti. Mereka ini juga tiada masalah untuk anak-anak mereka bergaul dengan anak-anak yang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Mereka tiada masalah untuk menghadiri majlis konvo anak mereka yang dibuat secara sederhana, as long as anak mereka gembira dan dapat berkonvo.

----------------------------------------
   
Kesimpulan

Setiap kanak-kanak perlu dihantar ke tadika bagi memastikan mereka boleh bergaul dengan kanak-kanak lain, mereka boleh membina kawan dan merasai tempat pembelajaran sebelum memasuki alam persekolahan yang sebenar. Mereka perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam memastikan perkembangan mereka berkembang baik. Mereka juga wajar diraikan jika perlu.

Ibu bapa mempunyai pelbagai pilihan. Ibarat kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Tak salah untuk menghantar anak ke tadika yang mahal walaupun kurang berkemampuan cuma perlu ada dalam minda bahawa tadika yang mahal akan melibatkan pelbagai lagi bayaran lain selain bayaran bulanan.

Minda ibu bapa juga perlu diperbetulkan. Tadika yang murah tak bermakna ianya tiada kualiti, malahan sesetengah tadika yang murah lebih berkualiti perkhidmatannya berbanding tadika yang mahal. Tak salah untuk menghantar anak ke tadika yang murah jika kita kurang berkemampuan, asalkan anak-anak kita dapat belajar, dapat berkawan dan dapat membangunkan perkembangan dirinya, itu sudah mencukupi buat usianya.

Pihak tadika pula jika boleh, perlu tingkatkan mutu dan kualiti pendidikan, sediakan backup plan untuk setiap perkara. Majlis konvo yang dirancang biarlah berpatutan dan sesuai dengan purata pendapatan ibu bapa yang mendaftar dengan tadika. Kesederhanaan itu perlu diutamakan. Ambil kira semua pandangan dan barulah dibuat keputusan yang terbaik.

Kos murah tak semestinya tak meriah. Kemeriahan itu boleh dicipta dengan kreativiti  dan kerjasama semua pihak. Rancang sebaik-baiknya dengan team pengurusan dan juga ibu bapa, tentunya akan membuahkan idea yang terbaik. Jangan pula terlampau inginkan kos murah, diketepikan keselesaan dan kemudahan yang sepatutnya disediakan. Jangan pula terlampau inginkan kegemilangan, diketepikan golongan ibu bapa minoriti yang kurang berkemampuan

Apa yang pasti, kita semua inginkan yang terbaik untuk anak-anak kecil kita. Tak salah untuk adakan majlis konvo untuk meraikan mereka tetapi biarlah ianya dibuat dalam keadaan yang terbaik untuk semua. 



Gambar 1: Majlis konvo aku di Tadika Pasti. Comel kan?



Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed


* Sebahagian isi dalam post kali ini adalah daripada pandangan En. Hishamuddin Kamarudin, seorang pengusaha tadika. 

Setiap Manusia Ingin Berjaya, Namun Tak Semua Miliki Tuah...


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tengok pada tajuk, ianya adalah satu line daripada lagu Standing In The Eyes Of The World, nyanyian Ella. Dulu kan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel, so lagu ini dikira sebagai lagu official untuk program tersebut. Aku masa tu pun baru tingkatan 1.

Ok, apa istimewanya lagu ni? Lagu ini dah lama tapi aku masih mendengarnya sehingga hari ini malahan lagu ini aku sentiasa perdengarkan kepada peserta-peserta program motivasi aku. Aku jadikan lagu ini sebagai lagu motivasi aku. Eh, bukan banyak lagi ke lagu lain yang boleh dipilih sebagai lagu motivasi? Yes, banyak je lagu-lagu yang selalu dijadikan lagu program motivasi seperti lagu Gemuruh, Fikirkan Boleh dan sebagainya cuma lagu ini sangat istimewa di hati aku.

Liriknya sangat menyentuh jiwa, ada soul dalam liriknya. Sebagai contoh "Setiap manusia ingin berjaya, namun tak semua miliki tuah". Ayat ini sangat menarik. Ianya menyatakan bahawa semua orang nak berjaya, semua orang sudah berusaha sebaiknya tapi apakan daya, mungkin belum rezeki. Tak semua orang yang sudah berusaha itu akan memperoleh apa yang diinginkan, mungkin sebahagiannyaa sahaja dan semua ini juga adalah qada' dan qadar juga. Ada hikmahnya semua ini berlaku, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Begitu juga dengan ayat "Terdidik sejak mula tabah berusaha". Maksud ayat ini adalah kejayaan tidak akan dicapai dalam masa yang singkat. Semakin besar kejayaan, semakin lama proses untuk mencapainya. Teruskan berusaha dengan sabar dan tabah. Ayat ini juga boleh ditafsirkan bahawa mulakan sesuatu dari awal waktu atau sejak kecil. Ibarat peribahasa Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Jangan bermimpikan kejayaan besar dalam masa yang singkat.

"Tanpa cuba melangkah takkan kemana". Yes, ayat ini menyatakan bahawa cakap-cakap kosong takkan ada hasilnya. Semuanya perlu bertindak, perlu ada aksi dan tindakan. Setiap sesuatu kejayaan itu, ianya dimulakan dengan langkah yang pertama. Apa langkah pertama itu? Ianya adalah Cuba buat. Mungkin sepanjang proses kita melakukan sesuatu, ada menemui kegagalan tapi kalau kita tak mencuba, kita takkan tahu dan kita langsung takkan berjaya kalau tak mencuba.

"Tiba masa kau melangkah gagah, bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya". Aku sangat menyukai line ini. Dulu, semasa aku konvokesyen Diploma, aku teringat akan lirik ini, ianya adalah konvokesyen pertama aku. Ianya sangat menusuk jiwa. Aku terkenangkan usaha-usaha aku, penat lelah aku, pengorbanan aku dan segala kesukaran belajar. Bila berada di atas pentas dengan duduk di kerusi roda sambil dibantu oleh staff universiti, aku melangkah satu demi satu. Setiap langkah dan gerakan tayar kerusi rodaku membuatkan aku merasa sangat bersemangat. Yes, inilah masanya, masa untuk aku melangkah gagah menerima skrol pengajian. Inilah masanya aku berjaya buktikan pengorbananku tidak sia-sia. Impianku telah tercapai dan aku genggam impianku dengan penuh gagah bergaya. 

Kembali semula dengan ayat "Setiap manusia ingin berjaya, namun tak semua miliki tuah". Ye, aku akui bahawa aku sangat bertuah. Ribuan lagi OKU diluar yang lebih hebat daripada aku tetapi mereka itu mungkin tiada tuah sepertiku, mereka mungkin tidak direzekikan seperti aku. Ramai lagi OKU diluar sana yang pandai dan hebat tetapi atas pelbagai faktor seperti kemiskinan, kesedaran keluarga, sokongan orang sekeliling menjadikan OKU itu tidak dapat belajar. Aku bertuah kerana aku mempunyai peluang untuk bersekolah, mempunyai keluarga yang prihatin akan pendidikanku dan memperoleh sokongan serta bantuan daripada orang sekeliling. Tanpa semua ini, aku rasa adalah mustahil untuk aku memperolehi apa yang aku ada hari ini.

Lagu ini mengingatkan aku tentang susah payah aku. Lagu ini mengingatkan aku tentang perlunya aku bersyukur. Lagu ini mengembalikan nostalgia zaman belajar dahulu. Lagu ini mengingatkan aku supaya tidak berputus asa dan sentiasa berusaha. Lagu ini memberikan 1001 makna yang mendalam dalam jiwa ini.

Suka aku ingatkan semua bahawa setiap kejayaan kita, setiapa apa yang kita perolehi, usaha kita hanya 10%, baki 90% itu adalah daripada berkat doa ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan serta semua itu tidak sesekali akan berlaku tanpa izin daripadaNya.

Terima kasih kepada pencipta dan penyanyi lagu ini.


Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed

Tuesday, 19 November 2019

Aku Buat Motivasi


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Fuh, selesai design poster untuk program motivasi tahun hadapan. Ini design pertama dan akan ada design kedua serta ketiga. Design yang final untuk edaran belum diputuskan. Ini sampel sahaja. Apa komen korang semua?





Gambar 1: Poster cadangan program motivasi




Ok, sebenarnya poster ini untuk edaran hujung tahun ini. Fokus kepada program motivasi khasnya bertujuan untuk naikkan branding diri aku. Aku perlu brand kan diri aku supaya orang ramai kenal aku dan akan beli produk BIMO. Sama situasi dengan Datuk Aliff Syukri. Beliau brand kan diri dia sehingga satu Malaysia kenal dia dan bila orang kenal dia, mudah untuk dia jual apa jua produknya. Sama la dengan aku. Jika aku dah terkenal, senang nak jual apa sahaja, bukan setakat BIMO, produk lain pun boleh. Diri aku sendiri adalah brand dan produk yang perlu orang ramai kenali.

Aku cerita sedikit berkaitan design poster ini. 

Aku kalau diikutkan hati, taknak letak gelaran Dr kat depan tapi memandangkan ianya boleh membantu dalam proses branding, aku letak juga. Bukan apa, taknak dikatakan berlagak. Dengan gelaran Dr di depan nama aku, ianya menunjukkan kelayakan akademik aku. So tak perlu aku nak cerita panjang lebar tentang akademik aku bermula Diploma sehingga sekarang, tak perlu aku ceritakan tahap pendidikan tertinggi aku, cukup sekeping gambar penerimaan ijazah PhD dan letak gelaran Dr di depan nama sudah memadai. Aku letak juga ayat OKU sejak lahir. Ye, tak mudah nak cari seorang OKU sejak lahir yang mempunyai PhD. Ramai yang aku jumpa ada gelaran Dr atau Prof yang OKU tapi bukan sejak lahir. Kebanyakkannya akibat kemalangan waktu remaja atau sakit waktu pengajian di universiti. Aku rasa ada sedikit creadit untuk bahagian OKU sejak lahir ni.

Pihak kami tawarkan 5 pilihan modul dengan setiap modul berdurasi antara 90-120 minit termasuk aktiviti dan sesi soal jawab. Kalau terlebih 120 minit, tiada masalah, aku tak caj pun dan aku cuba untuk lebihkan sedikit. Dalam 5 modul ini, aku paling banyak buat adalah modul Transformasi Minda yang mana modul ini aku buat secara bulanan dalam program PTM anjuran SUK Johor. Modul ini menceritakan tentang kisah suka duka aku sejak lahir sehingga tamat PhD. Cabaran waktu sekolah dan universiti pun aku masukkan bersama. Aku selitkan dengan cerita-cerita motivasi dan nasihat yang aku sendiri lalui. Ianya adalah 90% kisah aku. Baki 10% lagi adalah video dan aktiviti.

Untuk modul Hala Tuju Pelajar pula, lebih kepada hala tuju pelajar tingkatan 5 dan 6 yang akan tamat SPM dan STPM. Agak banyak juga jemputan untuk modul ini. Aku menceritakan tentang laluan mereka untuk mencapai universiti mengikut bidang dan kelayakan mereka. Untuk modul ini, aku guna Teori Holland. Apa itu Teori Holland? Nanti aku ceritakan detail hal ini dalam post lain. Paling penting, ianya sangat bermanfaat untuk mengetahui potensi pelajar.

Modul Cabaran dan Peluang Usahawan itu lebih kepada penceritaan tentang pengalaman aku menjadi usahawan serta beberapa hal lain seperti cabaran-cabaran nak jadi usahawan dan apa peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka ini. Cabaran dan peluang itu juga ada yang aku ambil berdasarkan pengalaman usahawan lain. Untuk makluman korang, Malaysia adalah antara Top 5 negara yang mesra usahawan Start Up. Banyak kemudahan dan peluang yang kerajaan kita sediakan untuk bantu rakyat menjadi usahawan. Nak tahu apa bantuan tu? Sila jemput saya.   :)

Modul Kerja Dari Hati Pasti Diberkati itu adalah modul yang sesuai untuk agensi kerajaan dan syarikat swasta. Ianya melibatkan integriti, amanah dalam membuat kerja dan jujur dalam membina kerjaya. Aku masukkan juga sedikit sebanyak perkara yang melibatkan halal dan haram. Tujuan modul ini adalah untuk bantu pihak majikan memberi motivasi dan kesedaran kepada warga pekerja mereka tentang konsep berkerja dan membina kerjaya. Matlamat aku dalam modul ini adalah selepas pekerja-pekerja itu selesai mendengar perkongsian modul ini, mereka akan lebih bersemangat, amanah dan jujur dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka akan menyukai kerjaya mereka sekarang dan germbira dengan majikan mereka. 

Modul Untungnya Jadi OKU adalah antara yang aku nak fokus sekarang. Aku akan menceritakan tentang bagaimana seorang OKU Fizikal berkerusi roda pergi ke sana sini dengan kawan malahan ada yang pergi seorang diri. Ianya melibatkan bagaimana OKU itu ingin survive dalam kehidupan mereka. Ianya melibatkan bagaimana OKU itu menggunakan semua sumber yang ada di sekeliling mereka. Ianya melibatkan bagaimana OKU itu ingin meminta bantuan jika mereka ada masalah, semuanya perlukan kemahiran dan adab. Dalam modul ini juga sesuai untuk ibu bapa normal tetapi mempunyai anak kecil berstatus OKU supaya mereka mempunyai guideline yang baik untuk mendidik dan membesarkan anak mereka sebagaimana yang telah dilakukan oleh ibu bapa aku sendiri. Aku berhasrat untuk menulis buku secara panjang lebar tentang perkara ini. Bagaimana OKU Fizikal berkerusi roda menunaikan umrah? Ha... tunggu aku cerita dalam modul ini.

Maklumat Anugerah / Pencapaian tu aku masukkan sikit supaya orang tahu yang aku bukan beli sijil PhD palsu, bukan beli anugerah palsu. Sijil pengajian aku dari Universiti Teknologi Malaysia, grad pada April 2019. Anugerah tu aku bahagikan kepada dua iaitu anugerah berbentuk akademik dan anugerah berbentuk keusahawanan. Nanti risau ada pihak pertikaikan tentang apa kelayakkan aku untuk bercakap tentang hala tuju pelajar dan cabaran keusahawanan, so aku tulis untuk elak pertikaian kemudian hari.

Dari segi gambar, gambar pertama adalah gambar aku menerima skrol sijil PhD daripada DYMM Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM. Aku ingin gambarkan melalui gambar ini bahawa ianya mewakili anugerah, pengiktirafan dan daripada pihak yang tertinggi. Di sini melambangkan kejayaan dan disampaikan oleh orang kenamaan.

Gambar kedua pula adalah gambar aku full dari hujung kepala hingga hujung kaki. Bagi yang sudah mengenali aku, mereka dah tahu keadaan fizikal aku tapi bagi yang belum kenal, mereka boleh tengok aku sepuas-puasnya. Gambar pertama itu aku berada di kerusi roda, tak nampak sangat aku takde tangan kiri dan mungkin orang beranggapan yang aku hanya kemalangan serta menggunakan kerusi roda secara sementara sahaja. So, aku berpendapat bahawa gambar ini mewakili diri aku dengan gaya seperti sedang berucap. Orang boleh tengok yang aku hanya ada sebelah tangan sahaja dan tiada kedua-dua kaki.

Gambar ketiga pula aku dengan berlatar belakangkan orang ramai sambil aku sendiri memegang mikrofon. Ini bertujuan untuk menimbulkan feeling sokongan, nak nampak ramai dan aku dalam keadaan bercakap menimbulkan imej ketokohan serta biasa bercakap. So, gabungan sokongan sehingga imej ketokohan, aku letakkan sebagai gambar terakhir. 

Ini plan untuk tahun hadapan. Aku sangat-sangat mengalu-alukan jemputan dari pelbagai pihak. Aku juga mengalu-alukan semua pihak yang ingin menaja program ini supaya ianya dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah.


Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed

Saturday, 16 November 2019

Projek BIMO-Part 2


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ok, masih lagi berkaitan dengan BIMO ni iaitu Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat Malaysia. Kali ini aku nak share tentang sebab aku develop buku ini. Yela, aku boleh bercakap, aku boleh sembang, family aku pun semuanya boleh bercakap, so buat apa aku susah-susah nak develop buku untuk belajar bahasa isyarat ni?

Ceritanya bermula 8 tahun lepas semasa aku mula-mula start pengajian PhD aku. Pada waktu itu aku nak buat tajuk tentang e-learning untuk belajar bahasa isyarat. Aku ingat bahasa isyarat tu senang sahaja nak dipelajari, hanya gerak-gerak tangan sahaja, itu andaian aku sahaja. Rupanya tidak, agak rumit juga sebenarnya. Apa pun, Alhamdulillah, aku dapat sokongan penuh daripada Persatuan Orang Pekak Johor (SDJO) terutamanya daripada Presiden SDJO iaitu En. Yazid Bain. Dia yang banyak bantu aku.

Dari semasa ke semasa, aku banyak menyertai program, mesyuarat, sembang kosong dan macam-macam lagi bersama komuniti OKU Pekak ini. Makan bersama dan siap tidur sekatil lagi dengan komuniti mereka. Dari situ aku mula menyedari bahawa komuniti OKU Pekak ini agak tersisih dan majoritinya tidak tahu menulis dengan baik. Mereka ini gagal menguasai kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira, cuma mengira itu ok la sebab selalu kira duit tetapi untuk membaca dan menulis dalam bahasa melayu baku, memang majoritinya gagal.

Daripada kajian pengajian aku pula, banyak faktor yang menjadikan mereka itu gagal menguasai 3M tetapi aku simpulkan kepada 3 faktor utama. Faktor pertama adalah pembelajaran bahasa isyarat tidak disediakan di taska dan tadika semasa. Buat masa sekarang, hanya satu sahaja taska untuk kanak-kanak OKU Pekak diwujudkan, itu pun atas usaha NGO. Faktor kedua adalah kurangnya bahan pembelajaran dan pengajaran untuk mempelajari bahasa isyarat. Mereka juga masih menggunakan kaeadh tradisional dalam pembelajaran mereka iaitu menggunakan buku dan bergantung sepenuhnya kepada guru. Faktor terakhir adalah keprihatinan ibu bapa dalam memastikan anak-anak OKU Pekak mereka belajar dengan baik dan mendapatkan keputusan yang cemerlang. Tahap kesedaran ibu bapa ini masih boleh dikatakan agak rendah. Mereka beranggapan bahawa anak OKU Pekak mereka tidak mampu pergi jauh.

Kemudian pada waktu itu, aku berkumpul dengan kawan-kawan sambil sembang. Pada waktu itu masing-masing bertanya projek terkini dan kajian semasa. Aku pun menceritakan masalah OKU Pekak ini. Dari situ timbulnya idea untuk membangunkan projek berkaitan dengan pendidikan OKU Pekak.

Sebagai langkah pertama, team kami menyertai pertandingan Indienomics Challenge yang mana ianya khas untuk syarikat start up mengetengahkan idea perniagaan atau idea projek. Pada waktu itu, team kami hanya mengetengahkan idea untuk membangunkan sebuah aplikasi berteknologi AR. Namun demikian, atas nasihat mentor kami, kami mencadangkan untuk membangunakan buku interaktif.

Idea itu kemudiannya digilap dan digilap dengan cara menambahkan ilmu pengetahuan melalui membuat perbentangan kepada pelbagai agensi. Banyak input yang diperolehi dan dibuat penambahbaikan. Pada masa itu sedikit demi sedikit idea itu berubah tetapi matlamat utamanya tetap sama iaitu untuk membantu komuniti OKU Pekak belajar bahasa isyarat cuma kadang-kala kami cuba membentangkan mengikut perspektif yang berbeza. Sebagai contoh, ada yang kami bentang dari perspektif ibu bapa normal tetapi mempunyai anak OKU Pekak, ada perspektif dari kanak-kanak OKU Pekak, ada perspektif dari guru-guru pendidikan khas dan sebagainya. Semua itu dirancang bagi memperolehi input dari pelbagai perspektif.

Kemudian, kami menyertai pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang menawarkan geran perniagaan sehingga RM 500,000.00. Bermula dari peringkat menghantar video pendek untuk peringkat saringan, maju ke peringkat suku akhir, diberikan peluang untuk ke separuh akhir melalui bootcamp dan akhirnya menang di peringkat akhir. Semua itu kami laluinya satu-persatu, tiada laluan mudah, tiada istilah pakai kabel. Semua ini adalah rezeki kami, berkat daripada bantuan dan doa semua pihak. 

Daripada wang geran itulah kami membangunkan Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat Malaysia ini. Alhamdulillah, respond yang diterima daripada masyarakat terutamanya daripada komuniti OKU Pekak itu sendiri sangat memberangsangkan. Mereka sangat teruja melihat buku yang dilengkapi dengan teknologi AR ini. Buku ini adalah yang pertama di Malaysia dan mungkin juga di dunia. Setakat ini aku belum menemui pihak lain atau di luar negara yang membangunkan buku ini dengan teknologi seperti kami. Kalau ada pun, ianya dalam bentuk kad imbas (flash card) dan menggunakan watak 3D yang boleh didapati secara percuma dalam internet.

So, aku harapkan korang semua sudi untuk membantu pembangunan buku ini. Tak nak beli pun takpe, cukup sekadar share post ini di media sosial korang atau doakan kejayaan untuk team kami pergi jauh. Semoga dengan bantuan perkongsian dan doa korang, kita sama-sama menyumbang ke arah kerja-kerja fardhu kifayah ini. Ok, aku kongsikan video ringkas tentang BIMO ye.





Video 1: Video teaser promosi BIMO



Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed

Friday, 15 November 2019

Projek BIMO-Part 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ada orang bertanya, apa projek bro sekarang. So, kat sini aku share tentang projek terkini dan harap rakan-rakan semua sudi support projek ini ye.

Pada akhir 2017, aku menang geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) bernilai RM 500,000.00 dan pada Mac 2018, aku bersama 3 lagi rakan menubuhkan syarikat bernama IMI CREATIVE SDN BHD.

Dengan geran yang dimenangi itu, team kami membangunkan Buku Interaktif Bahasa Isyarat Malaysia bersama BIMO. Apa benda tu?

Buku ini adalah buku pembelajaran untuk komuniti OKU Pekak mempelajari bahasa isyarat dan sebagai alat bantu mengajar bagi guru-guru pendidikan khas. Buku ini mengandungi 3 bahasa iaitu Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) dan America Sign Language (ASL). Ianya dilengkapi dengan teknologi Augmented Reality (AR) yang mana jika pengguna imbas buku tersebut (imbas dengan aplikasi mobile), satu watak animasi 3D akan muncul di skrin dan boleh terus mempelajari bahasa isyarat. Dibawah adalah gambar-gambar buku dan aplikasi tersebut.




Gambar 1: Koleksi set buku Belajar Bahasa Isyarat Malaysia


Gambar di atas adalah gambar buku-buku yang telah dihasilkan. Terdapat 10 siri yang mana 10 siri ini dikira sebagai 1 set. Setiap siri terdapat topik-topik yang tertentu. Pengguna boleh membeli dalam bentuk 1 set atau dalam bentuk siri demi siri. Setiap siri sudah mempunyai nombor siri ISBN. Pihak syarikat aku juga menawarkan perkhidmatan langganan secara bulanan.






Gambar 2: Muat turun aplikasi BIMONAR

Buku itu bersifat stand alone, maksudnya ianya boleh digunakan secara terus tanpa perlu bergantung kepada perkara lain. Namun demikian, untuk menarik minat kanak-kanak, syarikat kami membangunkan animasi 3D melalui aplikasi mobile. Pengguna yang sudah memiliki buku ini, boleh muat turun aplikasi BIMONAR daripada Google Play. Setakat post ini diterbikan (Nov 2019), pengguna hanya boleh muat turun aplikasi ini melalui Google Play dan untuk iOS, pihak kami masih dapat proses pembangunan





Gambar 3: Selepas muat turun, ini adalah antara muka utama
 


Selepas muat turun aplikasi BIMONAR, Gambar 3 adalah antara muka utama yang mana terdapat 4 butang iaitu Utama, Imbas, Kenali BIMO dan Tutup. Fungsi utama aplikasi ini adalah butang Imbas dan Kenali BIMO. Di laman Imbas, pengguna boleh pilih siri buku yang ingin di imbas. Gambar seterusnya adalah gambar untuk pembelajaran Abjad dan Angka.





Gambar 4: Antara muka untuk pembelajaran Abjad






Gambar 5: Setiap langkah ditunjukkan dengan garisan anak panah





Gambar 6: Antara muka untuk pembelajaran Angka






Gambar 7: Anak panah digunakan dengan tujuan menunjukkan arah pergerakkan

 




Gambar 8: Ambil buku dan imbas menggunakan BIMONAR



Untuk imbas buku menggunakan aplikasi ini, pengguna perlu mempunyai buku dan imbas kepada muka surat buku tersebut. Buku Siri 1 (produk) boleh diimbas menggunakan Imbasan Buku 1 (aplikasi). Sebagai contoh, Gambar 8 mengimbas perkataan Maaf yang terdapat dalam Buku Siri 1 menggunakan Imbasan Buku 1
 




Gambar 9: Selesai imbas, watak 3D BIMO akan muncul. Tekan butang Main Animasi untuk melihat isyarat dilakukan



Watak BIMO akan muncul di skrin telefon pintar / tablet pengguna. Pengguna akan dapat melihat garisan merah sebagai tanda proses imbasan sedang dijalankan dan garisan merah tersebut akan bertukar menjadi hijau apabila watak BIMO sudah berjaya diimbas. Apabila warna garisan sudah hijau, barulah pengguna boleh tekan butang Main Animasi untuk melihat BIMO melakukan isyarat. Pengguna boleh melihat berulang-ulang kali sehingga faham dan ingat akan gaya isyarat tersebut dilakukan.

 



Gambar 10: Kuiz turut disediakan dalam aplikasi BIMONAR ini



Apabila pengguna sudah mahir dan faham, mereka boleh menjawap kuiz. Pengguna perlu ke laman Kenali BIMO dan pilih Kuiz. Dalam Kuiz ini, terdapat pilihan jawapan yang mana pengguna perlu tekan butang Play, lihat isyarat yang dilakukan oleh BIMO dan jawap melalui pilihan jawapan yang disediakan





Gambar 11: Jawapan dan markah dipaparkan



Jawap dan lihat jawapan serta markah yang diperolehi. Dengan menggunakan produk ini, pengguna bukan sahaja boleh mempelajari bahasa isyarat, malahan boleh terus menguji kefahaman mereka. Semua ini hanya menggunakan produk buku ini sahaja.

Gambar 12: Antara muka penutup yang turut memaparkan logo penaja dan pihak yang terlibat


Gambar terakhir di atas adalah antara muka penutup. Di laman ini, pihak kami memaparkan semua logo penaja dan pihak yang berkerjasama dalam pembangunan projek ini. Alhamdulillah, projek ini mendapat kerjasama penuh daripada Teraju, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Persatuan Orang Pekak Johor (SDJO).

Alhamdulillah, aku rasa dah cukup untuk aku terangkan tentang perkembangan terkini aku dan apa projek yang aku usahakan buat masa ini. Walau bagaimanapun, perniagaan motivasi untuk pelajar sekolah, koleh, agensi kerajaan dan syarikat swasta masih aku jalankan secara sepenuh masa. Disamping itu ada juga syarikat kami menawarkan perkhidmatan pembangunan sistem, pembangunan aplikasi mobile, reka bentuk laman web, baik pulih komputer dan kosultasi OKU.


Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku

#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed


Thursday, 14 November 2019

Wujudkah istilah Tersalah Pilih Suami?


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Familiar tak dengan tajuk diatas? Aku agak banyak jugak la terbaca posting dengan tajuk yang seumpama dengannya iaitu isteri tersalah pilih suami. Aku banyak jumpa posting macam ini di Facebook dan WhatsApp. Kononnya diperkatakan oleh seorang Professor, aku tak pasti kesahihan sumbernya dan aku pun taknak la tuduh-tuduh, perkara pokok yang aku nak bincangkan adalah Wujudkah istilah Tersalah Pilih Suami?

Wanita yang paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami. Kita tengok kepada istilah Tersalah. Maksud istilah Tersalah adalah kita secara tidak sengaja / tanpa pengetahuan / diluar kawalan telah melakukan kesalahan / kesilapan. Itu istilahnya. Suami atau isteri, anggap sahaja sebagai Pasangan secara umumnya.

Ok, apa yang aku faham tentang Tersalah Pilih Suami adalah golongan wanita perlu membuat pilihan yang betul sebelum berkahwin. Calon suami yang ingin dinikahi itu perlu disemak supaya dia bukan penjenayah, kaki botol dan semua perkara negatif lain. Selain itu bakal suami itu juga perlulah seorang yang beriman, sentiasa menunaikan solat, rajin bersedekah dan sebagainya. Bukan apa, dibimbangi jika berkahwin dengan seorang kaki botol, kemungkinan besar isteri itu akan mengalami masalah seperti suami kerap balik lewat malam, kerap balik dengan keadaan mabuk, selalu pukul isteri dan sebagainya. So, memang betul la nasihat wanita jangan tersalah pilih suami kan? Apa masalahnya?

Nasihat itu betul cuma perlu diperbetulkan istilahnya supaya masyarakat tidak saling menyalahkan pasangannya jika rumah tangga itu bermasalah. Jodoh adalah takdir tetapi ianya termasuk dalam kategori Takdir Mua'llaq iaitu takdir yang kita dapat dengan asbab kita berusaha untuk mendapatkannya. Dalam hal ini, berusaha untuk berkahwin dan berusaha untuk memilih dan memperolehi suami tersebut adalah Takdir Mua'llaq.

Aku beri satu contoh mudah dahulu. Contohnya adalah, seorang isteri mengadu suaminya itu seorang penagih dadah. Suami itu tidak berkerja, selalu ambil duit isteri dan selalu pukul isteri dan anak-anak. Kira malanglah nasib si isteri kerana dapat suami seperti itu. Memang tepatlah dengan istilah yang kita bincangkan ini.

Baik, kita tengok situasi sebelum berkahwin. Adakah pihak keluarga/isteri sendiri sudah menyemak bersungguh-sungguh latar belakang bakal suaminya? 

Jika sudah semak dan mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah penagih dadah, kenapa nak kahwin dengan dia lagi? Ini bukan tersalah pilih tetapi sengaja pilih masalah. Awak dah tahu yang lelaki itu adalah penagih dadah, kenapa nak pilih dia lagi? Usah bermimpi untuk mengubah perangainya, silap-silap isteri yang terubah perangainya mengikut perangai suami.  

Jika sudah semak dan masih tidak mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah penagih dadah, adakah itu salah wanita tersebut? Pihak keluarga wanita dan wanita itu tentunya dah semak betul-betul tetapi tidak mempunyai maklumat tentang penagihan dadah lelaki itu, itu dah termasuk takdir. Ini daripada Takdir Mua'llaq berubah kepada Takdir Mubram, iaitu takdir yang kita tidak boleh ubah. Kita dah usaha sedaya upaya menyemak latar belakang lelaki tersebut tetapi tetap gagal untuk mengetahui sikap sebenarnya. Fahami juga konsep Qada' dan Qadar.

Ada juga kes sebelum berkahwin, lelaki itu bagus. Selepas beberapa tahun berkahwin, lelaki itu melakukan kesilapan dengan terjebak kepada penagihan dadah serta terus menerus menagih dadah. Dalam situasi ini, adakah boleh dikatakan wanita itu sudah tersalah pilih suami? Dia sudah semak dan didapati lelaki itu ok, maka dia berkahwin. Siapa yang tahu tentang perkara yang akan datang 5 tahun kemudian? Jangankan 5 tahun, tiada sesiapa pun yang tahu apa perkara yang akan berlaku esok hari.

Bagaimana pula jika keluarga/isteri tidak membuat semakan latar belakang lelaki tersebut. Jika tak buat atau buat sambil lewa, adalah menjadi kesalahan keluarga/wanita itulah. Siapa yang suruh mereka tak buat semakan? Ingat berkahwin ini perkara main-main? Perkara ini bukan dalam kategori Tersalah tetapi dalam kategori Memang Salah.

Baik, selesai kita analisis situasi tersebut. Aku berikan contoh kedua pula iaitu Asiah binti Mahazim, iaitu isteri Firaun pada zaman Nabi Musa A.S. Suami Asiah itu (Firaun) adalah seorang pemerintah yang sangat kejam. Firaun suka membunuh dan melakukan banyak kekejaman. Jika dilihat kepada istilah yang kita bincangkan ini, tentulah kita mengatakan alangkah malangnya Asiah kerana berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat kejam. Alangkah malangnya kerana berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai 1001 masalah dan yang terburuk adalah sanggup mengaku dirinya adalah tuhan.

Walau bagaimanapun, malangkah Asiah? Masuk neraka bersama suaminyakah? Tidak. Asiah sangat dimuliakan kerana dia yang memelihara dan membesarkan Nabi Musa A.S dan dia tidak takut menentang Firaun malahan mengaku bahawa Allah SWT itu adalah tuhannya. Asiah ditakdirkan untuk masuk syurga walaupun suaminya itu sebaliknya.

Aku berikan contoh ketiga iaitu isteri kepada Nabi Nuh A.S dan isteri kepada Nabi Luth A.S. Ada diriwayatkan bahawa nama isteri Nabi Nuh A.S adalah Waliqoh dan nama isteri Nabi Luth A.S adalah Walihah. Nabi Nuh A.S dan Nabi Luth A.S adalah berstatus nabi dan tentunya seorang insan agung yang hebat. Pada pandangan kasar kita, tentu bertuah kepada mana-mana wanita yang menjadi isteri kepada nabi, tentu akan dijamin masuk syurga, itulah wanita paling bertuah di dunia.

Adakah isteri Nabi Nuh A.S dan isteri Nabi Luth A.S masuk syurga? Tidak. Mereka masuk neraka kerana ingkar kepada Allah SWT. Mereka dedahkan rahsia suami mereka kepada kaum mereka. Mereka tidak patuh kepada suami mereka dan menjadikan mereka masuk neraka. Daripada wanita yang sangat bertuah menjadi wanita yang sangat malang. Jadi, dalam contoh ini, salah isterikah kerana membuat pilihan untuk menikahi lelaki yang berstatus nabi? Wanita itu sangat bertuah dan membuat pilihan yang tepat apabila berkahwin dengan seorang nabi tetapi itu tidak menjamin kehidupan dirinya selepas itu. Jika wanita itu terus setia dengan suaminya, Insyaallah dia akan masuk syurga tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. 

Ok, tamat contoh-contohnya dan kita berbalik kepada topik perbincangan. Pada aku, jika suami atau isteri kita mempunyai masalah dengan kita, kita ada masalah rumah tangga, jangan sesekali menyatakan bahawa kita sudah tersalah pilih suami / isteri. Jangan sesekali kita kata kita tersalah pilih pasangan. Ada masalah dalam rumah tangga, selesaikan dengan baik. Jika tidak dapat selesaikan dengan baik, mungkin berpisah boleh dipertimbangkan. Perkahwinan itu adalah takdir tetapi kita boleh menukar takdir kita dengan cara yang tertentu.

Sekali lagi, istilah Tersalah Pilih Suami adalah tidak wujud.

Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed

Permulaan baru


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah... Akhirnya niat untuk menulis blog kembali semula.

Sebelum ini dah berhenti menulis sebab sibuk, malas dan paling penting dah lupa password. Entah macamana, cuba, cuba dan cuba, dapat buka juga blog ini.

So, memandangkan nak buka cerita baru, aku delete semua post-post yang lepas termasuk komen-komennya. Sekali fikir macam sayang jugak tapi aku nak mulakan secara fresh.

Kenapa tak buat akaun baru je? Sayang nak buat akaun baru sebab banyak perkara. Antaranya blog ini dah ada follower (walaupun tak ramai, hehehe) dan paling penting blog ini yang menemukan aku dengan isteri aku. Isteri aku tertarik dengan blog ini dan dia baca semua post yang lepas, so kiranya ada nostalgia sikit la, hehehe...

Ok, Insyaallah aku akan cuba post sebanyak mungkin perkara-perkara yang ingin aku kongsikan. Ada yang berkaitan dengan diri aku, komuniti OKU, keusahawanan, politik, isu semasa dan teknologi digital. Cuma paling aku nak fokus adalah berkaitan dengan diri aku, komuniti OKU, keusahawanan dan teknologi digital. So, sudi-sudikan selalu singgah di blog ini.

Sekian, terima kasih.

#usahawandigitaloku
#sayadigital
#digitalmemudahkankehidupan
#augmentedreality
#ruzimimohamed